Mengangkat Martabat Bahasa dan Bangsa Inggeris

Ulasan filem

Gandingan Mel Gibson dan Sean Penn, dua orang pelakon hebat menjadikan filem ini sebagai sebuah drama yang cemerlang walau pun membawa pemikiran dan jalan cerita yang sarat dengan jiwa dan konflik.

Persembahan mantap dua pelakon hebat Mel Gibson dan Sean Penn sebagai penyusun bersama Oxford English Dictionary yang pertama di dunia. Skrip dan dialog yang indah dan lancar dituturkan dengan penghayatan yang cemerlang oleh para pelakon cukup memberikan kesan. Dialek pekat British juga menjadikan filem ini sedap ditonton, tetapi tetap juga memerlukan beberapa ketika bagi membiasakan dengan lenggok dialek ini.

Sarjana yang Sombong
Mel Gibson yang membawa watak James Murray yang belum mendapat gelaran Dr membentangkan cadangannya kepada sarjana dan pengurusan Universiti Oxford untuk menghasilkan sebuah kamus Inggeris. Ditempelak kerana tidak menamatkan pengajian dan tidak mempunyai sebarang ijazah, cadangannya ditolak mentah hanya kerana ahli akademi lain juga telah gagal melakukannya.

Tema yang relevan sehingga hari ini. Menilai ilmu hanya pada ijazah dan gelaran doktor falsafah hingga apa sahaja yang keluar daripada mulut mereka dianggap permata bernilai. Sebaliknya apa sahaja ilmu dan usaha gigih mereka yang tidak berpangkal namanya dengan “Dr” dipandang sepi. Seolah-olah ketinggian dan keabsahan ilmu hanya ada pada ijazah. Sungguh yang berijazah itu pandai, tetapi yang pandai tidak semestinya berijazah!

Babak Murray menundukkan keegoan para pemegang ijazah juga antara yang diingati apabila dia mendedahkan kemampuannya menguasai lebih daripada 10 bahasa termasuk Ibrani dan Arab. Dia juga menganjurkan kaedah baru dalam pengumpulan entri perkataan Inggeris yang selama ini menjadi jalan buntu kepada sarjana lain. Murray mengumumkan penyertaan orang ramai untuk menghantarkan apa sahaja perkataan yang mereka tahu digunakan berserta makna dan sejarahnya. Menakjubkan, orang ramai memberikan kerjasama yang luar biasa.

Di sini munculnya watak kedua yang melengkapkan penceritaan. Dr William Chester Minor adalah seorang doktor bedah yang berhadapan dengan trauma teruk akibat peperangan yang dilaluinya. Akibatnya, dia melakukan pembunuhan ke atas seorang lelaki yang tidak bersalah hanya kerana berhalusinasi bahawa ada orang cuba membunuhnya. Pembunuhan ini menghumbankannya ke Pusat Tahanan Pesakit Mental di Broadmoor. Watak Dr William dibawa dengan cemerlang oleh Sean Penn dengan penghayatan yang mengesankan.

Dr. William Chester Minor, American army surgeon, had worked as a surgeon during the American Civil War and his experiences on the battlefield led to paranoid delusions and an unstable mind.

Menjadi seorang bijak yang terperangkap dalam tubuh seorang yang berpenyakit mental. Dr William berusaha menebus kesalahannya dengan memberikan semua wang pencennya kepada janda yang kematian suami bagi membolehkannya menyara anak-anak yang ramai. Dia juga mengajarkan wanita yang sedang bersedih ini untuk membaca bagi meningkatkan nilai dirinya, demi anak-anak. Zaman itu, perempuan belum dibenarkan belajar. Bagaimana seorang wanita yang kemurungan akibat kematian suaminya mampu menerima pembunuh suaminya hingga akhirnya menerbitkan bibit cinta? Konflik yang maha hebat bagi kedua-dua mereka. Plot yang menggegarkan jiwa.

Dalam keadaan itu pun Dr William telah menyumbangkan lebih 10,000 entri untuk kamus Dr Murray yang kemudiannya membina hubungan persahabatan yang erat antara keduanya. Persahabatan dua orang penggila perkataan ini amat unik dan istimewa. Hingga apabila beberapa orang sarjana Oxford yang sakit hati dengan pencapaian Murray hingga melayakkan mendapat doktor kehormat daripada universiti ini, memfitnahnya, Dr Murray tetap mempertahankan sahabatnya.

Persahabatan dua orang penggila bahasa yang akhirnya membuahkan sebuah Kamus Inggeris pertama.

Sebuah kamus yang disusun bersama orang gila!

Ini adalah hakikat yang memalukan bagi bangsa Inggeris dan bahasa Inggeris sendiri. Tetapi melalui medium filem yang penuh drama ini, fakta ini disusun indah hingga dua orang penyusun kamus pertama bahasa Inggeris ini dilihat mulia dan berwibawa. Demikian bagaimana media penyiaran digunakan dengan optimum dalam mengangkat maruah bangsa. Tidak pula diketengahkan kisah Dr William yang sebenarnya juga adalah seorang penggila seks yang menjadikan pelacur sebagai temannya setiap malam hanya kerana takut dengan halusinasi sendiri. Setiap manusia mempunyai sisi gelap dan cerahnya, lalu yang cerah itulah ditonjolkan sebagai teladan kepada masyarakat hari ini.

Ini jauh berbeza dengan mentaliti pengkarya seni di Malaysia yang menyelak seluruh kurap dan panau bangsa untuk dipertontonkan kepada masyarakat dunia. Lalu mendabik dada kononnya mereka berjaya memaparkan realiti jijik bangsa sendiri tanpa sedar mereka melondehkan pakaian di khalayak ramai. Apakah ini lambang keikhlasan atau kebodohan bangsa Melayu!

Demikian juga dalam isu bahasa Melayu yang jauh lebih maju dan luas penggunaannya daripada Inggeris. Bahasa Inggeris adalah bahasa paling rendah dan hanya digunakan oleh orang kampung. Sedangkan bahasa Latin dan Perancis menjadi bahasa ilmu di Eropah. Hanya dalam abad ke-19 kamus pertama Inggeris ini disusun dan mengambil masa yang lama pula untuk disebarkan. Dan lihat kedudukan bahasa Inggeris hari ini.

Kamus pertama bahasa Melayu-Cina telah pun disusun oleh pedagang China seawal tahun 1403. Kamus bahasa Melayu-Itali pula disusun oleh Antonio Figagetta pada tahun 1522 bagi memudahkan urusan perdagangan rempah antara orang Eropah dengan pedagang Melayu. Demikian besarnya pengaruh bahasa Melayu kepada dunia ketika itu. Sehinggakan semua bangsa yang berdagang di pelabuhan Melaka ketika itu wajib berbahasa Melayu dalam urus niaga di sana.

Bahasa Melayu juga menjadi bahasa ilmu Islam dan menjadi bahasa pengantar di pondok-pondok yang pelajarnya datang daripada seluruh pelosok dunia. Kitab-kitab yang mulanya dicetak di India dan Mesir juga menggunakan bahasa Melayu walau pun penulisnya berasal daripada Padang, Acheh atau Fathoni. Luasnya penggunaan bahasa Melayu ini menyebabkan sukar untuk menerima catatan sejarah bahawa tidak ada kamus lengkap bahasa Melayu yang ditulis pada abad-abad ketika kegemilangan bangsa Melayu berada di puncaknya. Bagaimana proses pendidikan boleh dilaksanakan dalam bahasa Melayu jika tiada kamus yang lengkap sebagai rujukan?

Menurut catatan rasmi, kamus Bahasa Melayu – Inggeris pertama disusun oleh Zainal Abidin Safarwan pada tahun 1958, yang pada saya sangat lewat. Dan beliau kemudian menyusun pula Kamus Sinonim dengan Ungkapan pada tahun 1984.

Apakah benar tiada kamus bahasa Melayu yang pernah dihasilkan pada abad ke-15, atau manuskrip kamus itu tidak ditemui?

Merenung jati diri bangsa Melayu dalam media dan bahasa amat menyesakkan jiwa.

https://www.facebook.com/rohidzir.rais/posts/10217155551935597

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *