Oleh Ustaz Rohidzir Rais

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin baru-baru ini menitahkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) membuat kajian khas bagi mewajibkan atau tidak semua maahad tahfiz di Perlis yang tidak menawarkan SPM supaya ditutup. Apa pandangan Ustaz mengenai cadangan ini. Adakah ia baik untuk pembangunan tahfiz atau bagaimana?Kajian khas yang dicadangkan oleh Raja Muda Perlis ini adalah saranan yang amat baik dan memperlihatkan keprihatinan Tuanku dan pihak kerajaan negeri Perlis terhadap pembangunan sekolah tahfiz dan para pelajarnya. Maka, menjadi tanggungjawab yang besar kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi mengadakan kajian yang adil dan menyeluruh bagi memberikan gambaran sebenar kepada Tuanku.

Kerjasama daripada pengendali sekolah-sekolah tahfiz perlu dapatkan bagi mengumpulkan masalah sebenar sekolah-sekolah ini jika SPM diwajibkan kepada mereka.Secara umumnya, saya melihat beberapa kekangan yang dihadapi oleh pihak sekolah bagi melaksanakan silibus campuran tahfiz dan SPM. Dari segi silibus tahfiz, pelajar memerlukan tumpuan penuh untuk menghafaz al-Quran setiap hari dalam kredit masa yang panjang. Anggaran biasa, seorang pelajar yang sederhana boleh menamatkan hafazan al-Quran dalam masa tiga tahun. Sekiranya dia memulakan tahfiz pada usia 13 tahun selepas UPSR, dia akan tamat pada usia 16 tahun dan mungkin menambah setahun lagi untuk ulangan. Bererti dalam usia 18 tahun pelajar ini masih boleh mengambil SPM sebagai calon persendirian sama ada dengan memasuki sekolah integrasi atau belajar sendiri dengan bantuan tuisyen.

Kaedah ini paling banyak digunakan oleh ibubapa yang menghantarkan anak-anak mereka ke tahfiz.Sekiranya, pemaksaan dikenakan kepada semua pelajar tahfiz bagi mengambil SPM serentak dengan tahfiz, dibimbangi yang dikejar tidak dapat, yang dikendong pula keciciran. Mereka mungkin gagal dalam SPM dan gagal juga menghabiskan hafazan al-Quran.Kekurangan Guru Pakar Faktor lain yang menyukarkan pelaksanaan SPM di sekolah tahfiz adalah kepakaran guru dan kewangan. Kebanyakan guru tahfiz mempunyai kelayakan dalam bidang al-Quran dan tahfiz tetapi tiada kepakaran bagi mengajar subjek lain seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Matematik, Sejarah dan lain-lain subjek akademik. Sekiranya untuk 100 orang pelajar, sekolah perlu menyediakan maksimum 5 orang guru dengan bayaran RM1,500.00 seorang, bererti RM7,500.00 perlu dibelanjakan untuk elaun guru.

Penambahan lima subjek akademik misalnya untuk 100 orang pelajar memerlukan penambahan sepuluh orang guru bagi mengajar pada tahap berbeza. Penambahan kos berlipat kali ganda ini tidak dapat ditampung oleh pihak sekolah.Lebih-lebih lagi yuran pengajian, makan minum dan asrama yang dikenakan kepada pelajar hanya RM250.00-RM300.00 sahaja yang jauh daripada mencukupi bagi menampung kos sepenuhnya. Paling malang, 30% atau lebih ibubapa tidak melunaskan yuran hingga memaksa pihak sekolah mencari dana lain termasuk melalui derma. Ini hakikat yang tidak diketahui oleh masyarakat yang tidak terlibat dalam pembangunan tahfiz. Tambahan pula, pelajar sekolah agama dan tahfiz ini memilih jurusan khusus bidang agama Islam dan Bahasa Arab yang tidak memerlukan subjek akademik yang lain seperti geografi, sains, matematik dan lain-lain. Kalau pun perlu, hanya peringkat asas. Pelajar tahfiz mahu menjadi ustaz bukah saintis!

Bahagian 2: 150,000 pelajar sekolah agama perlukan sijil yang diiktiraf.