SINAR adalah anugerah yang wajar dikongsikan cahayanya dengan siapa sahaja.

Hanya selepas lima tahun penubuhannya, baru saya berani memperkenalkan SINAR kepada masyarakat dengan lebih luas. Itu pun selepas kumpulan pertama dan kedua pelajarnya telah pun selesa di Buuth al-Azhar, Mesir. Cukup bagi meyakinkan bahawa silibus garapan SINAR selari dengan al-Azhar.

Justeru dalam pertemuan bersama Ustaz Rosli Othman, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Majlis Agama Islam Pulau Pinang, saya membentangkan silibus SINAR dan tawaran kerjasama yang mampu kami hulurkan kepada sekolah-sekolah di Pulau Pinang. Ustaz Rosli teruja dengan perkembangan pelajar-pelajar muda SINAR yang mempelajari silibus yang tinggi.

Mudir SINAR, Ustaz Rohidzir Rais menyampaikan cenderahati berupa Kamus Sinar Azhari kepada Ustaz Rosli Othman, Penolong Pengarah Majlis Agama Islam Pulau Pinang. Bersama mereka adalah Ustaz Abdul Rahim Abdul Wahab, mudir Sekolah Agama Ibrah yang menemani mudir SINAR.

Dalam pertemuan dengan rakan-rakan Azhari di Sekolah Dairatul Maarif, saya berjumpa dan bertukar fikiran dengan Ustaz Khairul Khairol Fitri Kiraman dan Ustaz Asmawi Mansor tentang pelajar lepasan STAM yang menyambung pelajaran ke Al-Azhar.

Mudir bersama Ustaz Khairul Fitri Kiraman menerangkan Kursus Pemantapan Ilmu @ SINAR bagi lepasan STAM yang akan menyambung pelajaran ke Timur Tengah.

Menyedari kelemahan penguasaan Bahasa Arab para pelajar lepasan SPM dan STAM, SINAR menawarkan Kursus Intensif Pemantapan Ilmu sebelum ke Timur Tengah selama tiga bulan, Februari, Mac dan April.

Kursus ini memberikan penekanan dua aspek utama iaitu Bahasa Arab merangkumi kemahiran 4M, Membaca, Menulis, Menaakul dan Muhadasah (perbualan). Aspek kedua adalah bidang Fiqh merangkumi Fiqh Syafii, Usul Fiqh dan Kaedah Fiqh.

Kursus ini ditawarkan kepada semua pelajar lepasan SPM, STAM dan juga diploma.

Dalam masa yang sama MAIPP juga bersetuju untuk menawarkan kepada sekolah -sekolah tahfiz seluruh Pulau Pinang untuk lepasan mereka yang telah khatam al-Quran bagi menyambung pelajaran ke SINAR dan kemudiannya ke Universiti al-Azhar.

Dalam bulan ini, saya akan menziarahi beberapa sekolah dan majlis agama negeri bagi memberikan tawaran pengajian yang mampu dikongsikan SINAR dengan mereka.

Ustaz Rohidzir Rais
Mudir Sekolah Islam Nur al-Azhar (SINAR)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *