Dari Facebook Rohidzir Rais

Enam orang pelajar SINAR yang melanjutkan pelajaran ke Mesir menziarahi seorang ulama hadis bagi mendapatkan sanad hadis musalsal dan nasihat.

Pengorbananlah itu apabila ibubapa mengeluarkan anak-anak daripada pendidikan arus perdana yang serba lengkap dan menyertakan mereka ke aliran pendidikan Islam yang serba naif.

Kitalah Ibrahim yang melepaskan Ismail yang paling disayangi demi manifestasi kepatuhan kepada Sang Pencipta. Demikian apabila ibubapa menjerut rasa rindu ketika melepaskan anak-anak seawal usia 10 tahun untuk belajar di sekolah Islam, seperti Sekolah Islam Nur Al-Azhar (SINAR). Tidak sedikit air mata seorang ibu yang mengalir ketika teringatkan anakanda yang jauh di pelembahan Nil, tanpa diketahui bila pula akan bersua. Tidak sedikit juga rasa gundah seorang ayah memikirkan nasib anak di asrama bersama rakan-rakan berhadapan dengan silibus yang sukar, setaraf universiti.

Tidak ada kecemerlangan tanpa pengorbanan. Sebagaimana tidak mungkin wujud keimanan tanpa melepaskan.

Wahai Tuhan! Inilah Ismail-Ismail kesayangan kami yang dipersembahkan bagi berjuang di jalan-Mu. Kukuhkanlah jiwa mereka, sabitkan langkah kaki mereka. Berikan rasa kasih dan kasihan guru-guru dan siapa sahaja yang bersama mereka. Agar dapat mereka menyantuni mereka dan menjaga mereka. Peliharalah anak-anak ini daripada tangan-tangan jahat yang berniat merosakkan mereka. Hanya kepada-Mu kami memohon.

Wahai Tuhan! Titipkan kekuatan iman seorang Ibrahim dalam hati setiap ibubapa yang mengorbankan anak-anak mereka ke jalan-Mu.

Selamat berkorban kepada semua ibubapa dan pelajar-pelajar SINAR sama ada di tanah air dan juga di Bumi Kinanah, Mesir.

Daripada
Ustaz Rohidzir Rais
dan semua guru dan pengurusan SINAR

* Taklimat dan temuduga pelajar sesi 2020 akan diadakan pada 2 November 2019 bermula jam 9 pagi. Maklumat lanjut sila hubungi 019-3459257.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *