Pengenalan

Sekolah Islam Nur al-Azhar atau singkatannya SINAR adalah sebuah pusat pengajian Islam yang memberikan alternatif kepada pendidikan Islam sedia ada. Ia ditubuhkan atas kesedaran melahirkan sekumpulan ulama yang benar-benar menguasai bidang pengajian Islam dan dalam masa yang sama memahami ilmu-ilmu lain sebagai pelengkap keilmuan mereka. Masyarakat Islam Malaysia semakin berkecamuk disebabkan oleh pelbagai kontroversi yang mencarik perpaduan umat. Lalu kumpulan ulama yang akan dilahirkan ini diharap menjadi solusi kepada kemelut ummat dan bertindak sebagai sinar yang menerangi masyarakat Muslim negara ini.

Demi membimbing sekumpulan ilmuan yang berketerampilan dan mampu mencorak masa hadapan negara, SINAR menyusun silibus pendidikan yang lebih tinggi dan berkualiti. Sukatan yang disediakan untuk pelajar-pelajar ini bukan teori bilik kuliah yang belum diuji keberkesanannya. Sebaliknya, ia diasaskan, pertama, berdasarkan saranan Imam Syafii dalam menghasilkan pelajar yang cemerlang.

* SINAR diasaskan oleh tiga orang sahabat yang pernah belajar di sekolah yang sama, Ma’hadul-Azhar. Dari atas Ustaz Rohidzir Rais, Prof Madya Dr Irwan Mohd Subri dan Ustaz Mohd Zuhdi Ahmad Khasasi.

Imam Syafii menggariskan sinergi unsur-unsur berikut bagi melengkapkan pendidikan yang cemerlang:

Pertama, pelajar yang bijak dan berketerampilan; Ilmu Islam yang pelbagai dan merangkumi seluruh aspek kehidupan memerlukan penuntut ilmu mempunyai minda cerdas dan cemerlang. Mereka perlu menghafaz pelbagai nas dan dalil dengan tepat dan terperinci, di samping mempunyai kefahaman yang baik kepada semua dalil-dalil ini.

SINAR memilih pelajar yang benar-benar memenuhi kualiti ini. Ujian kemasukan diadakan bagi setiap pelajar. Antara ujian yang perlu dilalui bakal pelajar ialah menghafaz 5-10 baris ayat al-Quran dalam masa 30 minit hingga sejam. Pelajar yang berjaya akan diterima sementara yang gagal sepenuhnya akan ditolak. Bagaimana pun, pelajar yang berjaya melaksanakan separuh daripada tugasan yang diberi, diberikan peluang kedua dengan mengikuti kursus-kursus anjuran SINAR. Ini bagi menilai kesungguhan dan kemampuan pelajar ini. Justeru itu, SINAR hanya mengambil pelajar yang terpilih sekali pun jumlah yang layak adalah sedikit.

Kaedah ini juga bagi menjamin pelajar-pelajar berada bersama mereka yang mempunyai kemampuan yang sama dengan mereka dan mewujudkan persaingan yang sihat.

Kedua, guru murshid yang mampu membimbing; Pelajar mendapat pengaruh yang besar daripada seorang guru. Kerana itu, guru yang gagal tidak kan mampu melahirkan peajar yang cemerlang. Guru bukan hanya berperanan menyampaikan maklumat, tetapi juga mengalirkan azam, akhlak dan cita-cita tinggi kepada pelajar-pelajarnya.

Memahami kepentingan ini, SINAR menetapkan semua guru yang mengajar di sini adalah yang terpilih. Sekurang-kurangnya ia perlu memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang yang diceburinya. Atau ia dikenali sebagai seorang yang pakar dan terbaik dalam bidangnya.

Ketiga, ibubapa yang sedia berkorban dan memahami konsep pendidikan; Ibubapa memainkan peranan terbesar dalam menentukan hala tuju anak mereka. Sekiranya cita-cita terhadap anak mereka tidak selaras dengan aspirasi SINAR bagi melahirkan ulama terbilang, ia tidak mungkin tercapai. SINAR mensyaratkan agar ibubapa mendengar dahulu taklimat mengenai matlamat dan sistem pendidikan SINAR. Ibubapa pelajar juga perlu melalui temuduga bagi memastikan kepercayaan mereka kepada konsep pendidikan yang diterajui SINAR bagi memastikan perjalanan anak mereka di sini tidak diganggu dengan isu-isu remeh temeh yang lain.

Keempat, masa pengajian yang panjang; Bagi memahirkan seorang pelajar dengan semua ilmu Islam yang mantap, ia memerlukan masa yang lama untuk fokus dalam pelajarannya. Bagi menjamin masa pengajian yang panjang, SINAR memilih pelajar semuda sepuluh tahun hingga 16 tahun sebagai pelajar. Ini memberikan masa lebih lama bagi mereka menekuni pelajaran mereka tanpa perlu terbeban dengan pekerjaan dan tugasan lain. Pelajar yang lebih muda juga diterima sekiranya layak berdasarkan kemampuan belajar dan kematangannya berinteraksi dengan masyarakat.

Kelima, sumber kewangan yang cukup; Kekurangan dana pendidikan menjadi punca biasa seorang pelajar bijak dan cemerlang tidak dapat meneruskan pengajiannya ke peringkat lebih tinggi. Begitu juga pusat pengajian yang tidak dapat menampung kos pengajian yang tinggi akhirnya terpaksa ditutup atau meneruskan operasi dalam keadaan naif dan tidak berdaya maju. Produk yang dilahirkan juga tidak berkualiti dan bermanfaat untuk ummat.

SINAR yang menyasarkan kelahiran sekolompok ulama berwibawa tidak mungkin mampu mencapai cita-citanya tanpa kewangan yang mencukupi. Kerana operasi SINAR yang melibatkan tenaga pengajar pakar juga memerlukan kos yang tinggi bagi membayar gaji guru dan bahan- bahan rujukan. Pengambilan pelajar yang terhad juga menyebabkan kos setiap pelajar semakin tinggi sedangkan kemampuan ibubapa menyara anak-anak mereka adalah terhad.

Tidak dapat dinafikan, para penderma budiman memainkan peranan yang sangat besar dan penting dalam merealisasikan impian agung ini. SINAR amat berharap agar para dermawan memberikan sokongan kewangan yang mencukupi bagi menjamin kelancaraan operasi SINAR.

Kegagalan memenuhi walau pun hanya satu daripada saranan ini sahaja boleh menjejaskan kecemerlangan pelajar dan sekolah.

SINAR juga diasaskan berdasarkan acuan kejayaan sekolah Ma’hadul-Azhar, Pokok Sena, Pulau Pinang yang berjaya melahirkan lepasan pelajar yang menyambung pelajaran ke universiti, terutamanya Universiti al-Azhar, Mesir, dalam usia muda. Institusi itu, yang diasaskan dan diuruskan sendiri oleh Ustaz Yusoff Uthman sejak 27 tahun lalu, menerapkan konsep pendidikan yang menongkah arus pendidikan semasa negara ini. Sekali pun kelihatan janggal dan dipertikaikan oleh pendidik, ibubapa dan malah pelajar sendiri, tetapi kejayaan lepasannya yang cemerlang dalam pendidikan tinggi dan keterlibatan mereka dalam pelbagai bidang pekerjaan, membuktikan kejayaan sistem alternatif ini.

Objektif

Objektif penubuhan SINAR adalah seperti berikut:

  1. Melahirkan generasi pelapis imam-imam mujtahid yang mempunyai multi ilmu yang pelbagai hingga mampu menghidupkan agama Islam dalam masyarakat.
  2. Mencetuskan generasi yang memahami 30 juz al-Quran dan menyampaikannya kepada masyarakat.
  3. Menjana modal insan pakar yang mampu menangani kemelut umat.
  4. Menghubungjalinkan pembelajaran turath dan moden.
  5. Menyediakan pelajar memasuki universiti dalam usia muda.

Falsafah

Melahirkan barisan ulamak yang menguasai multi ilmu hingga mampu menangani kemelut ummah.

Visi

Menemukan Pelajar Bijak dengan Guru Murshid.

Misi

Melestarikan sistem pendidikan wahyu untuk melahirkan generasi pelapis mujtahid bagi menangani kemelut umat.

Lokasi

Lokasi sekolah terletak di alamat Kompleks SINAR, Lot 863, Jalan Hj Razak, Kg Baru Si Rusa, 71050 Port Dickson, Negeri Sembilan.

Sekarang, SINAR beroperasi di atas sebidang tanah seluas 2.5 ekar yang diwakafkan oleh pemilk-pemiliknya. Pada masa akan datang, SINAR berharap untuk membangunkan tapak ini dengan fasiliti yang lebih lengkap.

Tenaga Pengajar

Tenaga pengajar SINAR terdiri daripada mereka yang bergraduan daripada universiti tempatan atau luar negara atau memiliki ilmu yang diiktiraf dan berwibawa.

Pendaftaran

Sekolah ini beroperasi di bawah syarikat SINAR AZHARI RESOURCES no. pendaftaran 002361698-K.

Sekolah Islam Nur al-Azhar (SINAR) juga telah berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, nombor pendaftaran JHEAINS: 42-206/2019.

Silibus Pembelajaran

Silibus sekolah ini direka khas untuk melahirkan pelapis mujtahid dan melayakkan pelajar-pelajar memasuki universiti pengajian Islam sama ada di dalam atau pun luar negara pada umur yang muda.

Organisasi Lembaga Pengarah

Pengerusi: Dr. Irwan bin Mohd Subri
Tim. Pengerusi: Dato’ Ir. Hj. Wan Husin Embong

Ahli:

  • Ustaz Rohidzir bin Rais
  • Ustaz Mohd Zuhdi bin Ahmad Khasasi
  • Ustaz Mohd Fauzi bin Ibrahim
  • Dr Mohd Yusri al-Hafiz

AHLI JAWATAN KUASA PENGURUSAN SEKOLAH 
 
Penasihat Akademik:
  • Ustaz Yusoff bin Uthman (Mudir Ma’hadul-Azhar, Pokok Sena)
  • Dr. Irwan Mohd Subri  (Pensyarah USIM dan Pengarah INFAD)
  • Prof Madya Dr Mat Rofa Ismail (Bekas Pensyarah Matematik UPM)
  • Prof Dr Hapiz bin Muhaiyidin ( Pensyarah Uitm)
Mudir:
  • Ustaz Rohidzir bin Rais
Timbalan Mudir 1:
  • Mohd Zuhdi bin Ahmad Khasasi
Timbalan Mudir 2:
  • Mejer  Mohd Zaini bin Mohd Nasir (B)
Pendaftar
  • Mohd Zaini Ibrahim
Bendahari:
  • Abdul Latif Rahbar b. Shubki Latif
Bahagian Hal Ehwal Pelajar:
  • Muhammad Zahir bin Ismail

Implikasi Kewangan

Sumber kewangan SINAR dijana melalui sumbangan para dermawan, yuran pelajar, bengkel, kursus, motivasi dan sebagainya.

Penutup

Pihak lembaga pengarah sekolah mengharapkan agar usaha murni akan dimakbulkan Allah S.W.T demi melihat kejayaaan dan kecemerlangan umat Islam akan terus tercapai seperti zaman kegemilangan tokoh-tokoh ulama silam.

Download PDF Profil SINAR