Mudir SINAR bersama TYT Zamani bin Ismail, Duta Besar Malaysia ke Mesir dalam kunjungan hormat pejabatnya di Mihandessine.

Semalam, 12 September 2021, mencatatkan sejarah bererti kepada SINAR. Saya dimaklumkan tentang jemputan Duta Besar Malaysia ke Mesir, TYT Zamani bin Ismail, untuk bertemu mata dengan saya sebagai Mudir Sekolah Islam Nur al-Azhar (SINAR). Di luar dugaan saya bahawa keberadaan dan kecemerlangan pelajar-pelajar muda SINAR telah sampai ke pengetahuan TYT.


Kunjungan hormat ini diadakan selepas zuhur di pejabat beliau di Kedutaan Malaysia, Mohandessine. Saya ditemani oleh Ustaz Ibrahim, Pegawai Atase Negeri Sembilan, yang saya temui dalam pertemuan di kedai Asob sebelum ini. Ternyata Ustaz Ibrahim amat teruja dengan silibus yang digunakan oleh SINAR dan kemenjadian pelajar-pelajar di Ma’had Buuth al-Azhar. Dan keterujaan ini disampaikan kepada TYT Duta dan membawa kepada kunjungan hormat ini.

Mudir menyampaikan cenderahati sebuah buku ‘Kerdipan Bintang Islam di Langit Transoxania dan Rusia.’

Dalam pertemuan yang amat mesra ini, saya menghadiahkan sebuah buku yang baru saya terbitkan, ‘Kerdipan Bintang Islam di Langit Transoxania dan Rusia’ tulisan Dr Mat Rofa Ismail yang juga penasihat akademik SINAR. Buku ini siap dicetak pada hari saya berlepas ke Mesir, 8 September lalu.

Saya menyatakan rasa terima kasih atas kesudian TYT menerima kunjungan saya dan berminat dengan perkembangan SINAR. Kerana sekolah ini hanya sebuah sekolah yang kecil dengan pelajar-pelajar yang masih muda. Jumlah pelajar yang berada di Mesir ini juga hanya 18 orang yang jauh berbeza dengan sekolah-sekolah lain. Malu juga saya untuk memperkenalkan SINAR yang serba kerdil ini.

Tetapi TYT Duta amat merendah diri untuk sudi mendengar penjelasan tentang silibus SINAR dan pelajar-pelajarnya yang telah berada di Kaherah. Saya juga menceritakan kecemerlangan pelajar-pelajar ini yang berjaya naik tahun dan malah melompat kelas ke kelas lebih tinggi. Saya juga menunjukkan sijil penghargaan yang dikeluarkan oleh Buuth kepada pelajar kami, Nurun Nisa, yang mendapat markah tertinggi di dalam kelas Tsanawi 2. Bukan mudah nama Malaysia/ Malizi naik dalam carta pelajar-pelajar terbaik sama ada di Buuth dan juga Universiti al-Azhar.

Mudir, Ustaz Rohidzir Rais, membentangkan silibus SINAR kepada TYT Duta.

Saya juga tidak terlupa menceritakan kejayaan luar biasa pelajar muda kami, Wan Tasneem Salsabila binti Wan Sharafi, yang telah berjaya menamatkan kelas Tsanawi dalam tempoh kurang setahun. Saya tunjukkan sijil syahadah yang dikeluarkan oleh Buuth kepada beliau dan markah yang diperolehinya dalam 14 subjek Tsanawi 3. Juga memaklumkan bahawa Wan Tasneem ini sedang diuruskan pendaftaran untuk memasuki kuliah Universiti al-Azhar. Dan TYT amat terkejut apabila saya memaklumkan bahawa pelajar ini baru berusia 15 tahun!

Kisah pelajar muda Malaysia memasuki universiti dalam usia 15 dan 16 tahun telah dimaklumi hasil kemenjadian Ma’hadul-Azhar yang melahirkan pelajar-pelajar hebat seperti Dr Hapiz Mahaidin (UiTM), Prof Madya Dr Irwan Subri (USIM), Dr Sumaiyah (UNISZA), Dr Mohad Zuhdi (IPG) dan Ustazah Izzati al-Hafizah. Tetapi sejak lebih 20 tahun kisah hebat ini bagaikan legenda yang seolah-olah tidak mampu diulangi kembali. Lalu kejayaan pelajar SINAR ini dilihat permulaan kepada sebuah kebangkitan sekumpulan pelajar-pelajar muda yang bijak dan berakhlak mulia serta bersungguh-sungguh dalam pelajaran yang datang daripada ranah Tanah Melayu. Saya merencanakan dan mendoakan agar selepas ini setiap tahun SINAR akan menghantar pelajar-pelajarnya ke Universiti al-Azhar dalam usia muda bawah 18 tahun.

Jika Allah mengizinkan nyawa saya masih dikandung badan, dalam masa 10 tahun, lebih 100 pelajar SINAR akan berada di al-Azhar untuk Ijazah Pertama, Kedua dan Lanjutan. Dalam masa kurang 20 tahun daripada sekarang, lebih 100 lepasan SINAR akan pulang ke Tanah Melayu dengan Phd al-Azhar di tangan. Dengan jumlah ini, dengan izin Allah, mereka mampu mengubah Malaysia.

TYT Duta amat teruja dan bersyukur kerana nama Malaysia naik dalam kalangan Buuth dan al-Azhar sendiri dan menyatakan kesungguhan agar pelajar-pelajar terpilih ini mendapat sumbangan daripada kerajaan negeri terutamanya Negeri Sembilan, kerana SINAR berada di negeri ini. Ustaz Ibrahim memaklumkan bahawa setakat ini majlis agama hanya mengeluarkan zakat dan sumbangan kepada pelajar yang mengambil ijazah pertama dan ke atas, pelajar Buuth tidak diberikan. TYT membalas dengan jawapan yang sehingga sekarang masih teriang-iang di telinga dan fikiran saya, yang cukup mengharukan.

Katanya, “Mengapa tidak anak-anak ini diberikan sumbangan dan zakat kerana jika diberikan kepada pelajar lain mereka belum tentu belajar dengan bersungguh-sungguh. Sedangkan pelajar-pelajar ini memang sudah cemerlang.”

Ustaz Ibrahim memberikan reaksi positif dan bersetuju dengan cadangan ini. Mungkin beliau akan usulkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan untuk memberikan kelebihan kepada anak-anak SINAR yang berada di bawah negeri ini. Sekiranya pelajar ini cemerlang dalam pelajaran mereka sehingga ke peringkat Ijazah Kedua dan Lanjutan, sudah tentu nama baik MAINS juga yang harum semerbak. Mudah-mudahan Allah membuka mata dan hati mereka yang terlibat agar memandang anak-anak SINAR dengan penuh kasih sayang dan kebanggaan.

Pada penghujung pertemuan yang agak panjang ini saya memohon maaf kepada TYT kerana bercerita terlalu banyak tentang SINAR dan pelajar-pelajarnya seolah-olah meninggi diri. Saya nyatakan dengan jelas tujuan perkongsian ini kepada TYT dan juga kepada Ustaz Ibrahim;

“Saya kongsikan kepada siapa sahaja mengenai silibus SINAR dan kejayaan pelajar-pelajarnya bukan untuk berbangga. Tetapi untuk meyakinkan semua orang bahawa sebenar anak-anak Melayu kita mempunyai kebijaksanaan yang luar biasa. Cuma mereka memerlukan silibus yang berbeza yang sesuai dengan tahap akal mereka yang lebih cemerlang daripada rakan sebaya mereka. Dan SINAR yang kerdil ini dengan besar hati menawarkan segala pengalaman dan kepakaran bagi membantu anak-anak Melayu kita cemerlang dalam pelajaran terutamanya pengajian agama di Mesir ini.”

Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada Duta Besar Malaysia ke Mesir, TYT Zamani bin Ismail yang amat prihatin dengan kebajikan anak-anak Malaysia di bumi Mesir ini. Bukan hanya mahasiswa-mahasiswa al-Azhar tetapi juga pelajar-pelajar yang berada di Ma’had al-Buuth al-Azhar. Alangkah bertuahnya pelajar-pelajar Malaysia yang berada di Mesir kerana mempunyai seorang duta yang amat mengambil berat terhadap mereka. Pertemuan ini selain berjaya memperkenalkan SINAR kepada TYT Duta juga memperbetulkan salah faham tentang Ma’had al-Buuth al-Azhar yang sebelum ini dipandang rendah oleh sesetengah pihak. Silibus Buuth jauh lebih tinggi daripada STAM, itu hakikatnya. Ini akan saya ulas dalam pos akan datang, Insyallah.

Terima kasih juga Ustaz Ibrahim yang mempermudahkan urusan saya untuk memperkenalkan SINAR kepada TYT Duta dan pihak-pihak pentadbiran Malaysia di sini. Insyallah hubungan baik dan kerjasama ini akan diteruskan pada masa akan datang.

Ustaz Rohidzir Rais

Mudir Sekolah Islam Nur al-Azhar (SINAR), Port Dickson

Hayyu Sabiek, Madinat Nasr

Kaherah
Republik Arab Mesir

13 September 2021

Pelajar-pelajar SINAR di Mesir mengadakan lawatan ilmiah ke Musium of Islamic Art di Kaherah.
Pelajar-pelajar juga meneruskan lawatan ke National Museum of Egyptian Civilization

____________________________

Jika anak anda sering mendapat tempat pertama dalam kelas dan cemerlang dalam kebanyakan subjek di sekolah, mungkin dia antara pelajar terpilih yang dikurniakan akal yang cergas. Anak istimewa seperti ini tidak sesuai diletakkan dalam sistem pengajian arus perdana seperti pelajar lain. Malah zalim bagi anak ini dibiarkan dalam pengajian seperti ini.

Mungkin tempatnya adalah di SINAR yang menghimpunkan pelajar-pelajar bijak dan berakhlak mulia dan dipertemukan dengan barisan ilmuwan berkaliber dan silibus yang tinggi dan mantap.

Temuduga pelajar dan ibubapa untuk pengambilan pelajar sesi 2022 akan diadakan pada bulan November 2021. Calon pelajar wajib mendaftar lebih awal bagi mengikuti temuduga ini. Maklumat lanjut mengenai temuduga ini akan disampaikan kepada calon yang telah mendaftar.

Link Pendaftaran:

https://asis.awfatech.com/asis0036/

Silakan ziarah laman sesawang SINAR bagi mengenai sekolah ini, hala taju, silibus dan peraturan. Sekiranya bersesuaian dengan perancangan ibubapa dan anak juga layak, silakan mendaftar.

Link Web SINAR:

http://www.danasinar.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *