Alhamdulillah… Lafaz ini mungkin masih terlalu kerdil bagi menggambarkan kesyukuran kami warga Sekolah Islam Nur al-Azhar (SINAR) atas penghantaran kali ke-4 pelajar-pelajar ke Ma’had al-Buuth al-Azhar.

Tujuh orang pelajar, terdiri daripada empat lelaki dan tiga perempuan telah pun selamat sampai ke Kaherah pada 9 September 2021 bersama mudirnya, Ustaz Rohidzir Rais. Dalam keadaan Malaysia belum kebah daripada demam C19, urusan dan peluang untuk ke luar negara juga terlalu sukar dengan proses yang berlapis dan renyah. Cukup payah sehingga membebaikan.

Paling menggembirakan adalah semua pelajar yang berada di Mesir telah lulus dengan baik dan berjaya naik tahun dan malah ada yang lompat kelas. Sistem ini yang paling menarik perhatian saya. Pelajar yang tidak lulus terpaksa mengulang kelas, dan yang bijak dan rajin belajar sendiri dibenarkan lompat kelas. Sistem ini dinamakan sebagai Musabaqah atau terjemahan kasarnya Pertandingan.

Kedudukan pelajar-pelajar SINAR di Mesir kini adalah seperti berikut:

Seorang pelajar telah berjaya melompat dari Tsanawi 2 dan mendapat Syahadah Tsanawi dan akan mendaftar untuk tahun 1 Universiti al-Azhar dalam bidang yang diminatinya iaitu Falsafah di bawah fakulti Usuluddin. Pelajar perempuan kelahiran Kota Bharu ini baru berusia 15 tahun!

Semua 5 orang pelajar yang berada di Tsanawi 1 telah lulus dan naik ke Tsanawi 2 pada sesi hadapan yang bermula pada Oktober ini. Tahun ini tiada Musabaqah dan tidak boleh lompat kelas. Sekiranya mereka berjaya lulus dengan baik pada Tsanawi 2 ini, mereka berpeluang mengambil Musabaqah. Jika berjaya dalam Musabaqah dengan markah melebih 70%, mereka layak mendapat Syahadah Tsanawi. Sekali gus melayakkan mereka memasuki Universiti al-Azhar pada penghujung tahun 2022. Ketika mereka berusia baru 17 tahun. Usia yang sama, pelajar Malaysia ambil SPM!

4 orang pelajar yang berada di kelas I’dadi, 2 orang di I’dadi 3 dan seorang di I’dadi 3 telah berjaya lulus dan naik kelas. Dengan 3 orang melompat kelas ke Tsanawi 1. Mereka juga tidak lama lagi akan ke al-Azhar juga. Insyallah

Pelajar-pelajar bersama ibubapa masing-masing yang menghantar mereka di KLIA. Restu ibubapa juga penting untuk berjaya.

Dan saya menanti dengan penuh debaran untuk penentuan kelas bagi 7 orang pelajar-pelajar baru ini. Kerana, jika dibandingkan dengan pelajar-pelajar terdahulu, kumpulan pelajar ini paling bertuah kerana berkesempatan mengikuti silibus paling banyak dan tinggi. Malah kitab-kitab kelas I’dadi telah habis diajarkan. Kebanyakan kitab-kitab Tsanawi 1 hingga 3 juga telah diajarkan. Saya menjangkakan dan mendoakan agar mereka mendapat kelas Tsanawi 1 atau 2 dan segera memasuki universiti pada tahun hadapan.

Kejayaan pelajar-pelajar SINAR ini saya kongsikan dan akan terus dikongsikan sebagai tanda terima kasih kepada Allah yang memudahkan urusan pengajian anak-anak ini. Juga kerana di sebalik kejayaan mereka terdapat para guru, ibubapa dan para penyumbang yang bersusah payah membimbing dan membiaya pengajian mereka. Lalu kejayaan pelajar-pelajar sebenarnya adalah kejayaan mereka juga.

Pengalaman saya berurusan secara peribadi kepada penyumbang dan menyampaikan berita pelajar-pelajar yang mereka biaya telah berjaya lulus peperiksaan dan naik tahun atau berjaya memasuki al-Azhar, amat mengujakan. Mereka merasa amat puas dan bersyukur. Malah beria-ia mahu membiaya lagi sehingga ke universiti. Ini mentaliti cemerlang penderma yang faham akhirat.

Pelajar baru dan pelajar yang telah lama di Mesir mengikuti jaulah ke Musium of Islamic Art di kota Kaherah.

Ustaz Rohidzir Rais

Mudir SINAR

Hayyu Sabiek, Madinat Nasr, Kaherah, Mesir

12 September 2021

____________________________



Temuduga pelajar dan ibubapa untuk pengambilan pelajar sesi 2022 akan diadakan pada bulan November 2021. Calon pelajar wajib mendaftar lebih awal bagi mengikuti temuduga ini. Maklumat lanjut mengenai temuduga ini akan disampaikan kepada calon yang telah mendaftar.

Link Pendaftaran:

https://asis.awfatech.com/asis0036/

Silakan ziarah laman sesawang SINAR bagi mengenai sekolah ini, hala taju, silibus dan peraturan. Sekiranya bersesuaian dengan perancangan ibubapa dan anak juga layak, silakan mendaftar.

http://Link Web SINAR: www.danasinar.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *