Islamisasi ilmu atau pengislaman ilmu telah dilaungkan sejak hamper 50 tahun lalu yang menyaksikan perubahan mendadak dalam sistem pendidikan Islam di seluruh dunia Islam.

Malaysia mula menyedarinya dan bertindak pada penghujung 90an dan awal 2000. Kesedaran Islamisasi pendidikan ini menyaksikan penubuhan sekolah-sekolah agama yang menggabungkan antara pendidikan agama dan ilmu alat yang lain, sesuatu yang tidak berlaku dalam tempoh yang lama di Tanah Melayu ini, sejak penjajahan. Sekolah integrasi ditubuhkan bagaikan cendawan selepas hujan dan mendapat sambutan menggalakkan daripada ibubapa terutama di kawasan bandar. Sekolah tahfiz sains menjadi tumpuan ibubapa sehingga jumlah permohonan masuk berkali ganda daripada kemampuan sekolah menerima pelajar. Kemuncaknya, sekolah-sekolah elit di bawah kerajaan menjadikan tahfiz sebagai subjek tambahan sebagaimana yang dilakukan di MRSM Ulul Albab dan Imtiaz.

Semua ini menunjukkan dengan jelas bahawa Islamisasi ilmu, terutamanya ilmu sains telah mendapat sambutan menggalakkan dan luar biasa. Walau pun usaha yang dilakukan ini masih pada peringkat permulaan dan sukar untuk berkembangan kerana semua sistem baru ini dibangunkan di bawah kerangka sistem pendidikan negara yang berasaskan kepada sekularisme.

Ilmuwan Melayu yang hebat, Tan Sri Professor Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas, dalam bukunya, ISLAM AND SECULARISM, memperuntukkan satu bab khas pada akhir buku ini bertajuk, Dewesternisasi Ilmu, atau penyahbaratan ilmu. Beliau mencatatkan pada permulaan bab ini dengan ungkapan yang cukup menginsafkan:

“Telah banyak cabaran yang muncul di tengah-tengah kekeliruan manusia sepanjang sejarah, tetapi barangkali tidak ada yang lebih serius dan lebih merosakkan daripada cabaran masa kini yang dibawa oleh peradaban Barat. Saya berani menyatakan bahawa cabaran terbesar di zaman kita yang muncul secara diam-diam adalah cabaran ilmu, bukan sebagai lawan kepada kejahilan, tetapi ilmu yang difahami dan disebarkan ke seluruh dunia oleh peradaban Barat; – hakikat ilmu telah menjadi bermasalah kerana ia telah kehilangan tujuan hakikinya akibat daripada pemahaman yang pincang.- Ilmu yang sepatutnya menciptakan keadilan dan kedamaian, justeru membawa kekacauan ke dalam kehidupan manusia; – Ilmu yang kelihatan nyata tetapi ternyata menghasilkan kekeliruan dan skeptisisme, yang mengangkat keraguan dan sangkaan ke martabat ‘ilmiah’ dalam hal metodologi serta menganggap keraguan (doubt) sebagai sarana epistemologi yang paling tepat untuk mencapai kebenaran.- Ilmu yang untuk pertama kalinya dalam sejarah, telah membawa kekacauan kepada tiga kerajaan alam; haiwan, tanaman dan bahan galian.

“Perlu saya tegaskan di sini bahawa ilmu itu tidak bebas nilai (neutral), dan tentu sahaja dapat diserapi oleh satu sifat dan kandungan yang menyamar sebagai ilmu.”

(Syed Muhammad Naquib Al-Attas, Islam dan Sekularisme, terjemahan Dr Khalif Muammar)

* Alhamdulillah buku ini telah pun saya sempurnakan pengajarannya kepada pelajar-pelajar Sekolah Islam Nur al-Azhar (SINAR) dalam subjek Falsafah Islam.

Ilmu yang dimaksudkan adalah ilmu SAINS dan metodologi yang digunakan adalah metodologi sains yang melihat kebenaran sebenar berasal daripada keraguan. Sains bukan ilmu yang bebas nilai, ia mengikut agama atau kepercayaan saintis yang membawanya. Sekiranya ahli sains itu adalah ateis maka sains yang dibawanya juga sarat dengan unsur ateisme. Malangnya apabila seorang saintis Muslim yang percaya kepada Allah sebagai pencipta seluruh alam jagat dan mengaturkan perjalanannya, unsur iman itu tidak diterapkan dalam ilmu sains yang diajarkannya.

Semua kerana kepercayaan bahawa sains adalah ilmu bebas nilai atau neutral.Kerana itu usaha menyahbaratan ilmu perlu dilakukan kepada ilmu-ilmu yang diambil daripada Barat, terutama ilmu sains, yang telah dipengaruhi oleh akidah ateisme. Iaitu ketika ‘agama telah dibunuh.’ Lalu pelajar Muslim yang mencedok ilmu ini dari Barat juga ‘membunuh agama’ mereka ketika berada di makmal atau ketika belajar sains. Inilah cabaran terbesar yang diingatkan oleh penulis buku ini.

Ditulis oleh: Ustaz Rohidzir Rais, Mudir SINAR

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *