Dilema paling besar dalam kalangan ibubapa dan sekolah juga adalah apakah mahu anak atau pelajar menghafaz al-Quran dahulu kemudian baru belajar Bahasa Arab dan ilmu syariah yang lain?

SINAR mempunyai pendekatan berbeza.Kebanyakan sekolah agama atau tahfiz memilih jalan yang pertama iaitu menghafaz dahulu dan belajar ilmu lain kemudian. Namun terdapat kelemahan dalam kaedah ini:

1. Kerana memulakan pengajian tahfiz dalam usia lewat 10-12 tahun atau lebih, mereka tamat dalam usia paling muda pun 15 tahun sehingga 18 tahun. Dalam usia begini, peluang untuk mempelajari Bahasa Arab dan ilmu agama yang lain amat sukar. Perlu diingat, belajar Bahasa Arab dan ilmu syariyyah yang lain adalah jauh lebih sukar dan memerlukan masa yang panjang. Lalu paling malang apabila pelajar yang telah menghafaz al-Quran memilih untuk mengambil SPM atau kemahiran dalam bidang selain bidang agama. Lalu untuk apa menghafaz al-Quran.

Mengagatasi masalah ini, pelajar perlu menghafaz dalam usia lebih muda agar tamat hafazan dalam usia 10-12 tahun dan memulakan pengajian lanjutan. Ini dilakukan oleh kebanyakan pelajar Arab dan seumpama dengannya.

2. Masalahnya ialah sekolah tahfiz tidak mempunyai kemampuan menjaga pelajar terlalu muda semuda 5-8 tahun. Sekolah tahfiz juga tidak mempunyai kemampuan mengajar kemahiran asas 3M kepada pelajar muda ini, membaca, menulis dan mengira. Ini boleh diatasi jika ibubapa sendiri menjadi guru awal kepada anak-anak dalam menghafaz al-Quran. Malangnya, ibubapa yang sanggup bersusah payah membimbing anak menghafaz al-Quran sangat jarang.

Kedua-dua faktor ini menjadi asas yang kuat untuk tidak mendahulukan hafazan al-Quran di SINAR. Sejak awal penubuhan sekolah ini, saya sentiasa memaklumkan bahawa kami bukan sekolah tahfiz yang menumpukan hafazan 30 juzuk al-Quran. Kerana, tahfiz al-Quran hanya satu juzuk kecil dalam silibus SINAR yang besar dan luas.

Lalu saya memutuskan bahawa pelajar hanya wajib menghafaz 10 juzuk daripada belakang, 30-21. Dan 4 juzuk dari hadapan, jzuzk 1-4. Ini bagi memenuhi keperluan di Mahad Buuth dan Ba di Universiti al-Azhar.

Keputusan ini diambil kerana para pelajar perlu menumpukan pelajaran dalam banyak lagi subjek yang lebih sukar dan memerlukan masa dan perhatian yang lebih. Penguasaan Bahasa Arab menjadi keutamaan selain Fiqh, Kesusasteraan Arab, Usuluddin termasuk tafsir, hadis dan falsafah, juga subjek pelengkap seperti Bahasa Melayu, Inggeris, Matematik, Geografi dan Politik.

Beberapa hari lepas, dua orang pelajar SINAR yang sedang belajar di Mesir menghantarkan gambar masing-masing bersama ijazah khatam al-Quran untuk bacaan. Wan Tasneem Salsabila Tasnim Syarafie yang sedang belajar di tahun 1 Universiti al-Azhar dan Nur Tasnim Yusry telah menamatkan bacaan bertalaqqi dengan Syeikh Dhiya’ al-Haq yang merupakan penerima sanad ke-29 daripada Rasulullah.

Pelajar-pelajar SINAR yang lain juga akan menamatkan bacaan masing-masing di sana. Bagi mereka yang telah khatam bacaan bersanad 30 juzuk al-Quran, mereka akan memulakan hafazan al-Quran dengan syeikh. 10 juzuk yang telah mereka hafaz akan diulang tasmik dengan Syeikh Dhiya dan meneruskan hafazan sehingga khatam.

Saya menjangkakan dan mendoakan semua pelajar SINAR akan khatam hafazan al-Quran mereka ketika mereka menamatkan tahun empat Ba di Universiti al-Azhar atau lebih awal.

Dengan perancangan ini, mereka akan memperolehi sijil Ba al-Azhar bersama dengan ijazah sanad hafazan al-Quran 30 juzuk.

Ini adalah sistem yang digunakan di SINAR. Alhamdulillah ramai ibubapa memahami sistem ini dan menerimanya. Lalu setuju menangguhkan anak menghafaz al-Quran untuk belajar di SINAR dahulu.Kaedah ini saya kongsikan sebagai panduan sekolah dan ibubapa yang sedang mencari kaedah terbaik.

Ustaz Rohidzir Rais

Mudir SINAR

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *