oleh Ustaz Rohidzir Rais

Mudir Sekolah Islam Nur al-Azhar (SINAR)

Jika mahu bangunkan tahfiz atau sekolah agama, perlu ada satu sijil seperti 4 thanawi yang diiktiraf. Jika sekolah aliran Cina boleh minta pengiktirafan sijil mereka, mengapa tidak kita. Kenyataan ini mengundang persoalan, adakah sehingga kini keberadaan madrasah tahfiz yang dianggap berada di kelas rendah menyebabkan ia dipandang sepi. Atau usaha dalam kalangan pengusaha tahfiz sendiri yang masih belum cukup untuk menyakinkan kerajaan supaya dibantu dan dberikan inisiatif serta diiktiraf.Mengapa Sekolah Agama tidak menuntut?Perdebatan mengenai tuntutan pengiktirafan UEC oleh sekolah aliran Cina pada saya tidak begitu menghairankan kerana itu sistem yang mereka kehendaki.

Lebih menghairankan adalah mengapa tiada cadangan atau desakan daripada sekolah-sekolah agama, tahfiz dan pondok bagi menuntut pengiktirafan sijil yang setanding dengan SPM. Jika masalah ketiadaan sijil yang menjadi isu kepada lepasan pelajar aliran agama hingga mahu ditutup, maka, pengiktirafan satu sijil bersepadu yang menghimpunkan kekuatan subjek-subjek sekolah agama yang tiada dalam aliran arus perdana perlu dilaksanakan. Malah jika pihak Kementerian Pelajaran mensyaratkan subjek Bahasa Melayu dan Sejarah mengikut sukatan pelajaran SPM, kedua-dua subjek ini boleh dimasukkan dalam silibus bersepadu sekolah agama ini dengan mudah.Pengiktirafan satu sijil yang diiktiraf kerajaan dapat menyelesaikan masalah lepasan pelajar-pelajar sekolah agama bagi menyambung pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi sama ada di dalam negeri atau pun luar negara. Ia seperti fungsi Empat Thanawi yang sebelum ini menjadi sijil tertinggi yang diperolehi pelajar aliran agama sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar atau universiti lain di luar negara.

Menariknya, pelajar-pelajar yang telah menamatkan Ijazah Pertama atau Kedua di luar negara, akan mengambil SPM sebagai calon persendirian sekiranya mereka mahu melanjutkan pelajaran di universiti tempatan atau pun berkhidmat dengan kerajaan. Sekolah Agama Terbukti Melahirkan Ramai Tokoh BerwibawaSelama berpuluh tahun sijil ini diiktiraf oleh universiti luar negara, ia telah melahirkan puluhan ribu guru-guru agama yang memenuhi keperluan guru-guru agama yang berkualiti di seluruh sekolah kerajaan dan persendirian. Mereka juga menjadi pegawai-pegawai agama yang berkhidmat di seluruh jabatan agama Islam dan menjadi pendakwah yang bersama dengan kerajaan membangunkan masyarakat yang baik dan beriman. Lepasan sekolah agama ini juga menjadi menteri besar dan perdana menteri.

Justeru pengiktirafan semula sijil seperti ini adalah keperluan yang amat mendesak yang perlu diberikan perhatian oleh pihak kerajaan. Selain itu, bagi merealisasikan usaha ini, pihak sekolah agama juga wajib berlapang dada dan bersikap rasional dalam meraikan keperluan-keperluan berkaitan yang perlu dipenuhi bagi membolehkan sijil ini diiktiraf. Masalah paling besar adalah apabila golongan pengendali pondok dan tahfiz meremehkan keperluan satu sijil yang diiktiraf demi masa hadapan pelajar-pelajar mereka. Alasan yang diberikan adalah kononnya mereka belajar kerana ilmu bukan kerana sijil atau kata mereka lagi, tanpa sijil pun pelajar mereka lebih alim daripada mereka yang memiliki Phd. Mentaliti seperti ini perlu dihakis terlebih dahulu, kerana ibarat pepatah yang menyatakan, ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya.

Jika pelajar-pelajar ini bijak dan alim, memiliki sijil dan ijazah yang diiktiraf tidak akan mengurangkan keilmuan yang mereka miliki. Sebaliknya ia sebagai pengiktirafan yang membolehkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi atau melayakkan mereka menduduki jawatan yang setanding dengan keilmuan mereka, seperti mufti atau hakim syarie.

Bahagian 4: Ibubapa lebih Percayakan Sekolah Agama daripada Sekolah Kebangsaan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *