KERANA PEMIMPIN DAN ULAMA TIDAK DILAHIRKAN TANPA PERANCANGAN

Menemukan pelajar bijak dan berakhlak dengan sekumpulan ilmuan yang mursyid adalah matlamat Sekolah Islam Nur al-Azhar (SINAR), Port Dickson, dan Ma’hadul-Azhar, Pokok Sena.

Lalu menjadi sunnah dalam pendidikan untuk para pelajar merentasi beratus kilometer dan melalui beberapa negeri semata-mata mahu menadah ilmu daripada para ulama ini. Dan kerana sunnah itu juga, pelajar-pelajar SINAR seramai 13 orang bermusafir jauh ke utara tanah air bagi menjejak langkap para penuntut ilmu dahulu. Keterujaan pelajar dan kesanggupan ibubapa bagi menjayakan program yang pertama kali diadakan ini amat disanjung tinggi.

Juga amat mengesankan bagi pakar-pakar ilmu dalam bidang masing-masing meninggalkan zon selesa sebagai pesara dan penjawat awam bagi bertemu dan meraikan pelajar-pelajar yang ‘gila’ untuk belajar ini.

Pelajar lelaki bersama barisan pembimbing utama Azharul Ummah. Dari Kiri, Ustaz Ahmad Zaki Mihd Akaib, Ustaz Rohidzir Rais, Ustaz Shuib Mohd Amin, Ustaz Yusoff Uthman dan Ustazah Nuur ‘Ain Yusoff.

Ustaz Yusoff Uthaman, pengasas Ma’hadul-Azhar yang juga pesara kerajaan berbesar hati menerima anak-anak SINAR untuk bergabung dengan pelajarnya bagi menjayakan misi ilmu dan akhlak ini. Ustaz Yusoff Uthman dan Ustazah Nuur Ain, mudirah Ma’hadulAzhar PokokSena, akan membantu pelajar dalam subjek Kefahaman al-Quran dalam surah al-Nur. Insyallah pelajar yang telah mengkaji surah ini akan mengadakan pidato bertemakan surah ini untuk tatapan orang ramai.

Ustaz Ahmad Zaki Tinta AZ pula pelajar lepasan Ma’hadulAzhar PokokSena antara yang paling cemerlang. Beliau mampu membaca kitab Arab tanpa baris ketika berusia 10 tahun. Sahabat saya ini juga teruja untuk bersama membimbing kumpulan khas pelajar ini dalam subjek I’rab al-Quran surah al-Nur. Ujian i’rab surah ini akan diadakan selepas selesai kursus ini dan dibuka untuk tuntunan ramai.

Ustaz Soib Mohd Amin pula adalah guru kami yang sekian lama menyumbangkan tenaganya kepada¬†Ma’hadulAzhar PokokSena. Beliau sebelum bersara adalah seorang guru pakar Bahasa Arab yang menjadi rujukan Kementerian Pelajaran dan juga antara yang menyusun buku teks Bahasa Arab. Kepakaran beliau dalam Bahasa Arab dan Balaghah tidak boleh disia-siakan. Malah pada ziarah saya pada Hari Raya Aidilfitri yang lepas juga, beliau sudah menunjukkan keterujaan apabila saya bercerita tentang prestasi pelajar SINAR. Dan hari ini saya membawakan kumpulan pelajar ini kepada beliau. Kelas Balaghah akan bermula pagi esok jam 8 pagi setiap hari sepanjang kursus ini.

Tenaga pengajar bersama pelajar perempuan yang menyertai Azharul Ummah.

Saya? Menjadi orang paling bahagia kerana berjaya menyediakan sekumpulan pelajar berprestasi tinggi untuk dipertemukan dengan sekumpulan ilmuwan yang ikhlas dan berwibawa.

Kerana tiada ulama dan pemimpin yang dilahirkan secara kebetulan. Maka kita merancang kebangkitan sekumpulan pelajar cemerlang dan beriman bagi memimpin agama, bangsa dan negara tercinta.

Ustaz Rohidzir Rais
Mudir Sekolah Islam Nur al-Azhar (SINAR)
Kampung Kota, Permatang Pasir

* Taklimat dan temuduga pelajar sesi 2020 akan diadakan pada 9 November 2019 di SINAR, Port Dickson, bermula jam 9 pagi hingga 1 tengah hari.

Maklumat lanjut, sila layari: www.danasinar.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *