Anak-anak bukan MALAIKAT! Ini pesanan saya kepada ibubapa dan diri sendiri.

Malangnya ibu bapa lebih cenderung menafikan kesalahan anak demi menjaga maruah sendiri. Lalu anak dibiarkan melakukan kesalahan demi kesalahan yang tidak berkesudahan.

Setiap anak wajib melakukan kesalahan, bezakan ibubapa dan guru yang perlu membetulkannya sejak awal. Namun dalam membetulkan kesalahan, ibubapa perlu terlebih dahulu menerima dengan hati terbuka kesalahan yang mereka lakukan tanpa rasa ego dan cuak.

Sedih dan malu dengan kesalahan anak-anak? Ya saya juga mengalami perasaan yang sama. Dan malah setiap guru, ulama dan malah nabi dan rasul juga diuji dengan kenakalan anak-anak. Terima kesalahan anak-anak dan ambil masa muhasabah diri dan berfikir bagaimana mengajar dan menghukum anak-anak agar kesalahan ini tidak dilakukan lagi hingga dewasa.

Perit, memang memeritkan, itulah harga menjadi ibu dan ayah.

Di SINAR, sebagai mudir, saya juga berhadapan ibubapa seperti ini walau pun tidak ramai, tetapi ada. Kerana itu sejak awal penerimaan pelajar sudah ditegaskan, saya akan berterus terang mengenai sikap, akhlak dan kesalahan pelajar. Ibu bapa wajib menerimanya secara positif. Kerana apabila kesalahan dihadapkan kepada ibu bapa, bererti saya mengajak mereka bersama menangani masalah pelajar ini.

Kerana itu juga, setiap kesalahan pelajar akan disiasat dengan rapi, diadakan soal siasat kepada yang tertuduh, yang mendakwa dan para saksi. Semua keterangan saksi akan dicatatkan secara berasingan dan digabungan dengan keterangan yang tertuduh. Secara mantiqnya, kebenaran tidak akan bercanggah.

Kesimpulan daripada siasatan ini akan dicetak dan pelajar diminta menilai kembali kesalahan-kesalahan yang diajukan kepadanya. Jika mereka mengaku, senarai kesalahan itu akan ditandatangani sebagai tanda pengakuan. Selepas itu baru ibu bapa dipanggil dan diserahkan surat akuan ini.

Setiap ibu bapa menerimanya dengan cara berbeza. Ada yang menitiskan air mata dan berkali-kali meminta maaf. Ada yang enggan memandang pun pada senarai kesalahan anaknya. Tidak kurang juga yang menepuk meja dan menyalurkan kemarahannya kepada mudir.

Mengeluarkan pelajar daripada SINAR adalah hukuman terakhir agar dapat menginsafkan pelajar dan tidak mengulangi perbuatannya di tempat lain.

Demikianlah, anak -anak bukan malaikat, dan ibu bapa bukan tuhan!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *